Berdebar, parang di leher anak
Maziah (dua, kiri) sedang berceritakan sesuatu kepada Ismail (kanan) semasa menziarahi keluarga berkenaan.

KUALA PILAH– Pengalaman menghadapi detik-detik mencemaskan ketika dirompak pada awal bulan lalu masih segar dalam ingatan sebuah keluarga dari Kampung Temeris, di sini.

Mansur Harun, 53, masih terbayang ketika leher anak perempuannya diacu parang di leher salah seorang daripada empat perompak yang memecah masuk rumah mereka, kira-kira pada jam 2 pagi.

“Mereka mengurung kami berempat termasuk ibu dan isteri di dalam bilik tingkat atas rumah serta menyuruh kami diam jika tidak mahu diapa-apakan.

“Ketika itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu berdoa supaya mereka tidak melakukan sesuatu terhadap ahli keluarga saya. Saya juga bimbang keadaan ibu kerana dia kurang sihat sewaktu kejadian,” katanya ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, kaki dan tangannya yang diikat menggunakan tali pinggang menyebabkannya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu memerhatikan tindakan perompak terbabit mencari barang berharga.

“Kejadian berlaku selama setengah jam. Saat itu amat mencemaskan, hanya tuhan sahaja yang tahu apa yang berada dalam fikiran kami. Saya terus berdoa agar masa berlalu dengan pantas, bimbang diapa-apakan,” katanya.

Katanya, perompak tersebut berjaya menyelinap masuk ke dalam rumah menggunakan pintu bahagian ruang tengah.

“Kedudukan pintu berhampiran tingkap. Mereka mengumpil tingkap sebelum memulas tombol pintu dari arah dalam.

“Banyak barang yang hilang seperti seluar, pakaian dan wang tunai bernilai RM1,000,” katanya.

Mansur berkata, kedudukan rumahnya di atas bukit dan jauh dari jiran tetangga juga berkemungkinan menjadi faktor sasaran kumpulan perompak berkenaan.

“Walau kami jerit sekalipun, jiran-jiran sukar mendengar jeritan kami. Bagaimanapun, saya syukur kepada Ilahi kerana isteri, Maziah Bai, ibu dan anak perempuan saya selamat dan tidak mengalami kecederaan. Wang boleh diganti tetapi nyawa tiada ganti,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling Datuk Ismail Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temeris, Mohd Yunus Abdullah hadir menziarahi keluarga berkenaan serta memberi sumbangan berupa makanan sebagai tanda simpati atas kejadian yang berlaku.